𝐏𝐒𝐈𝐒 𝐈𝐍𝐒𝐓𝐈𝐓𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐓𝐀𝐌𝐀 𝐋𝐀𝐍𝐂𝐀𝐑 𝐈𝐇𝐒𝐀𝐍 𝐅𝐎𝐎𝐃 𝐁𝐀𝐍𝐊 (𝐢-𝐅𝐁)
SABAK BERNAM, 12 Februari 2026 – Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) mencatat sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai institusi pertama bagi pelancaran Ihsan Food Bank (i-FB) yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berlangsung di Dewan Seri Sabak, PSIS, hari ini.
Pelancaran Ihsan Food Bank (i-FB) merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Sekretariat Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) sebagai langkah proaktif dalam membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa, khususnya golongan yang memerlukan sokongan berterusan bagi meneruskan pengajian.
Dalam ucapannya, YB Menteri KDPN, Yang Berhormat Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa pelaksanaan Ihsan Food Bank merupakan sebahagian daripada agenda transformasi kementerian yang berteraskan nilai keprihatinan sosial dan kelestarian.
“Agenda transformasi ini menggariskan tiga komponen utama Inisiatif Ihsan Food Bank yang dikenali sebagai 3S iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan. Pendekatan ini bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, malah mendidik masyarakat untuk lebih menghargai makanan serta mengurangkan pembaziran,” ujar beliau.
Beliau turut menambah bahawa pelaksanaan di institusi pendidikan seperti PSIS amat signifikan kerana mahasiswa merupakan ejen perubahan yang mampu memperluaskan mesej kesedaran tersebut kepada masyarakat.
“Kita mahu mahasiswa bukan sahaja menerima manfaat, tetapi turut menjadi duta kepada budaya menyantuni komuniti dan mengamalkan penggunaan sumber secara lestari,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Sultan Idris Shah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPDN kerana telah memilih PSIS sebagai institusi pertama pelaksanaan Ihsan Food Bank (i-FB).
“PSIS amat berbesar hati dan bersyukur atas pemilihan ini. Inisiatif Ihsan Food Bank bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar, malah memberi suntikan motivasi kepada mereka untuk terus fokus dalam pengajian,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak institusi komited memastikan program ini dilaksanakan secara tersusun, telus dan berintegriti agar manfaatnya benar-benar sampai kepada pelajar yang memerlukan.
"kami percaya bahawa bantuan makanan bukan sekadar isu kebajikan, tetapi isu keberkesanan pembelajaran kerana seorang pelajar yang lapar, sukar untuk fokus manakala seorang pelajar yang kenyang, lebih bersedia untuk maju berusaha dan berjaya. Oleh itu, penubuhan Foodbank@ PSIS menekankan satu prinsip utama: “tiada pelajar yang lapar ke kelas".
Selepas majlis perasmian, YB Menteri turut mengadakan lawatan ke ruang Foodbank@ PSIS dan turut melancarkan Inkubator Ihsan Food Bank@PSIS yang memanfaatkan teknologi retort sumbangan KPDN pada Jun 2022.
Hadir sama, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna, Datuk Haji Rizam Haji Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dato' Seri Mohd Sayuthi bin Bakar, Setiausaha Bahagian Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup
Negara, Tuan Mohammad Sanusi Bin Abdul Karim dan Pengarah Bahagian Governan Dan Kecemerlangan (BGK), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK),Ts. Mohd Zulkefli bin Ibrahim serta Pengarah PSIS, Puan Haslinda Abd Hamid.
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | Youtube| Tiktok : Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis