Program Jalinan Warisan Kebangsaan & UNESCO (JIWAKU) Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di POLIMAS pada 5 hingga 8 Oktober 2025 telah berjaya mencapai objektif penganjuran dengan cemerlang.
Melalui penglibatan aktif peserta dari seluruh Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia, program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat cintakan warisan, memperluas kefahaman terhadap nilai kebudayaan, serta mengukuhkan hubungan strategik bersama UNESCO Malaysia.
Penganjuran ini bukan sahaja menyerlahkan bakat dan kreativiti pelajar, malah mengangkat imej JPPKK sebagai peneraju pembangunan pelajar TVET berteraskan warisan kebangsaan dan identiti Malaysia.
Tahniah kepada Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) atas kejayaan gemilang yang diraih dalam pelbagai kategori sepanjang penganjuran Program Jalinan Warisan Kebangsaan & UNESCO (JIWAKU) 2025 di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS).
Dalam Kategori Kesenian Mek Mulung, Gema Mustika PSIS telah muncul Juara Kesenian Mek Mulung dan turut menerima Anugerah Tarian Terbaik Mek Mulung, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM250 dan RM150.
Bagi Kategori Vlog Warna-Warni Kedah JIWAKU, pasukan PSIS telah berjaya meraih Naib Juara Video Vlog Keseluruhan dengan hadiah RM150, serta memperoleh Anugerah Vlog Terbaik (Kategori Kreatif) bernilai RM100.
Sementara itu, dalam Kategori Explorace Jelapang Padi, pasukan PSIS B yang diterajui oleh Pn.Aziah Thalaha dinobatkan sebagai Naib Juara, manakala PSIS A yang diterajui oleh Pn. Nurul Aqmar Hassan memperoleh tempat Ketiga, masing-masing menerima hadiah berbentuk plak dan hamper. Selain itu, PSIS turut mengungguli acara tradisional apabila muncul sebagai Juara Pukul Bantal yang disertai oleh Muhammad Aidil Fitri Mohd Zulkefli (JPH) dan Juara Tarik Tali Wanita yang disertai Pn. Aziah Thalaha (JSKK) dan Yasmin Arisha Mohd Latiff (JPH).
Kejayaan ini membuktikan semangat kesepaduan, bakat dan komitmen tinggi warga PSIS dalam mengangkat warisan kebangsaan serta memperkukuh nilai kebudayaan melalui platform pendidikan teknikal. Tahniah dan syabas diucapkan!