733 GRADUAN PSIS DIRAI DALAM MAJLIS KONVOKESYEN POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI ZON TENGAH 2026 - SIDANG 3
- Details
- Hits: 14

𝟕𝟑𝟕 𝐆𝐑𝐀𝐃𝐔𝐀𝐍 𝐏𝐒𝐈𝐒 𝐃𝐈𝐑𝐀𝐈 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐊𝐎𝐍𝐕𝐎𝐊𝐄𝐒𝐘𝐄𝐍 𝐏𝐎𝐋𝐈𝐓𝐄𝐊𝐍𝐈𝐊 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐋𝐄𝐉 𝐊𝐎𝐌𝐔𝐍𝐈𝐓𝐈 𝐙𝐎𝐍 𝐓𝐄𝐍𝐆𝐀𝐇 𝟐𝟎𝟐𝟔 – 𝐒𝐈𝐃𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐈𝐆𝐀
MUALLIM, 26 September 2026 – Seramai 737 graduan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) daripada Sesi II 2024/2025 dan Sesi I 2025/2026 diraikan sempena Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muallim.
Graduan yang menerima diploma terdiri daripada lima jabatan akademik utama PSIS iaitu Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Perdagangan serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Kejayaan graduan PSIS turut diserlahkan menerusi pelbagai pengiktirafan, Nur Azlina binti Sitosman, graduan Diploma Pengurusan Pelancongan, sekali lagi mencipta kejayaan apabila menerima Anugerah Pengarah bagi Sesi II 2024/2025 pada Sidang 3 yang berlangsung pada 26 September 2026.
Pencapaian tersebut melengkapkan kejayaan beliau selepas menerima Anugerah Ketua Pengarah, iaitu anugerah tertinggi dalam Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026, pada Sidang 1,24 September 2026. Anugerah berprestij tersebut telah disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Bagi Sesi I 2025/2026, Muhammad Nazmi Ilman bin Mohd Nor pula menerima Anugerah Pengarah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang sepanjang tempoh pengajian.
Selain itu, graduan PSIS turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik yang membanggakan sepanjang tempoh pengajian.
Enam graduan PSIS turut menerima pengiktirafan khas pada Sidang 3 atas kecemerlangan dalam aspek akademik, kepimpinan, kesiapsiagaan industri serta pembentukan sahsiah.
Alwin Aulia binti Mohd Afrizal Wendy daripada Diploma Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tan Sri Dato’ Dr. Rozali Ismail yang mengiktiraf kecemerlangan dalam aspek akademik, kepimpinan dan pembangunan diri. Beliau menerima wang tunai RM2,000, plak kristal, piala pusingan, jambangan bunga dan sijil penghargaan yang ditaja oleh Puncak Niaga Holdings Berhad.
Ahmad Rafael Fadlullah bin Ahmad Jais daripada Diploma Teknologi Maklumat menerima Anugerah Khas Kepimpinan, manakala Nur Fyka Alyssa binti Mohd Adzhar daripada Diploma Sains Kesetiausahaan dan Abdul Ilah Nazhan bin Abdul Jalil daripada Diploma Seni Bina menerima Anugerah Khas Industri.
Sementara itu, Muhammad Irshad bin Noor Azman daripada Diploma Kejuruteraan Elektronik dan Farida Sofea binti Khairul Nizam daripada Diploma Kejuruteraan Alam Sekitar menerima Anugerah Akhlak Terpuji sebagai pengiktirafan terhadap nilai integriti, adab dan keperibadian mulia yang ditonjolkan sepanjang pengajian.
Kesemua penerima anugerah khas menerima wang tunai RM1,000 berserta plak kristal sebagai simbol penghargaan terhadap usaha dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang tempoh pengajian. Penyampaian anugerah khas disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Dr. Rozali Ismail, Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat Puncak Niaga Holdings Berhad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Haji Mohd Asri bin Ahmad, Pengasas Asri Ahmad Academy merangkap Ahli Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS, turut menerima Penganugerahan Tokoh Industri Politeknik Sultan Idris Shah 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen beliau dalam memperkukuh hubungan PSIS dengan pihak industri serta menyokong pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan.
Pelbagai pengiktirafan yang diterima mencerminkan usaha, disiplin dan komitmen para graduan sepanjang tempoh pengajian, selain sokongan berterusan daripada keluarga, pensyarah dan rakan-rakan. Pencapaian tersebut turut memperlihatkan kepentingan pembangunan akademik, kemahiran teknikal, kemahiran insaniah, kepimpinan dan sahsiah dalam melahirkan graduan yang holistik serta bersedia memenuhi keperluan industri.
Pencapaian ini turut memperlihatkan peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi selaras dengan kehendak industri. Penguasaan kemahiran teknikal dan insaniah menjadi antara elemen penting dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyediakan mereka untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan negara.
Turut hadir Pengarah PSIS merangkap Pengerusi Sidang Ketiga, Puan Haslinda binti Abd Hamid, Timbalan Pengerusi Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah, Encik Mohd Asyraf bin Md Sum, Timbalan Pengarah Akademik, Encik Mohamad Shabudin bin Mohamad Nor serta Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Encik Mohamad Azrin bin Ramli.
Tahniah diucapkan kepada semua graduan
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | Youtube| Tiktok : Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis

