width=
𝟕𝟐𝟔 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐉𝐀𝐑 𝐏𝐒𝐈𝐒 𝐓𝐄𝐑𝐈𝐌𝐀 𝐁𝐈𝐌𝐁𝐈𝐍𝐆𝐀𝐍 𝟐𝟖 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐎𝐑 𝐈𝐍𝐃𝐔𝐒𝐓𝐑𝐈, 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀 𝐊𝐄𝐒𝐈𝐀𝐏𝐒𝐈𝐀𝐆𝐀𝐀𝐍 𝐊𝐄 𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀𝐀𝐍
SABAK BERNAM, 14 September 2026 – Seramai 726 pelajar semester akhir Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) kini menerima bimbingan daripada 28
mentor industri menerusi PSIS–PNHB Industry Excellence Mentorship Programme, satu inisiatif strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan pelajar menghadapi alam pekerjaan.
Program yang julung-julung kali dilaksanakan hasil kerjasama PSIS dan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) ini dilancarkan hari ini sebagai platform yang menghubungkan pelajar secara langsung dengan golongan profesional industri bagi memperoleh pendedahan terhadap realiti dunia pekerjaan, pembangunan kerjaya, budaya kerja serta kompetensi yang diperlukan dalam persekitaran pekerjaan sebenar.
Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Dr. Rozali bin Ismail, Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat Puncak Niaga Holdings Berhad merangkap Penasihat Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS, yang turut memainkan peranan sebagai Chief Mentor dengan berkongsi pengalaman, pandangan dan inspirasi kepada para pelajar.
Program yang akan berlangsung selama empat minggu, bermula 14 September hingga 9 Oktober 2026, para pelajar dibahagikan kepada 13 kelas dan dibimbing oleh 28 mentor industri. Sesi Meet and Greet antara mentor dan mentee turut berlangsung hari ini sebagai langkah awal membina hubungan serta komunikasi profesional.
Melalui pendekatan mentorship, pelajar berpeluang mendapatkan pandangan secara langsung daripada profesional industri berkaitan keperluan sebenar majikan, budaya kerja, etika profesional,komunikasi,pembangunan kerjaya dan kemahiran yang diperlukan untuk kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.
Interaksi ini turut membantu membina keyakinan diri, memperluas jaringan profesional serta memahami cabaran dan peluang dalam dunia pekerjaan sebenar.
Kerjasama strategik PSIS dan PNHB ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam merapatkan jurang antara pendidikan dan industri dalam memperkukuh pembangunan bakat, hubungan strategik dengan industri serta kesiapsiagaan graduan menghadapi keperluan pasaran pekerjaan.
Penganjuran program ini turut memperkukuh peranan PSIS sebagai institusi TVET dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari segi teknikal, malah memiliki kemahiran insaniah, profesionalisme, daya saing dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan industri.
Hadir sama, Pengarah PSIS, Puan Haslinda Abd Hamid, Timbalan Pengarah Unit Pembangunan Kompetensi, Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Barisan Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS.
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | Youtube| Tiktok : Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis