PROGRAM KOMUNITI HUJAI SABAK BERNAM 2026 MELABUHKAN TIRAI, PERKUKUH AGENDA KELESTARIAN BERSAMA KOMUNITI
- Details
- Hits: 19

𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐊𝐎𝐌𝐔𝐍𝐈𝐓𝐈 𝐇𝐈𝐉𝐀𝐔 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐊 𝐁𝐄𝐑𝐍𝐀𝐌 𝟐𝟎𝟐𝟔 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐁𝐔𝐇𝐊𝐀𝐍 𝐓𝐈𝐑𝐀𝐈, 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐔𝐊𝐔𝐇 𝐀𝐆𝐄𝐍𝐃𝐀 𝐊𝐄𝐋𝐄𝐒𝐓𝐀𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐊𝐎𝐌𝐔𝐍𝐈𝐓𝐈
SABAK BERNAM, 25 Julai 2026 – Program Komuniti Hijau Sabak Bernam 2026 yang berlangsung selama lebih dua bulan bermula 22 Mei hingga 25 Julai 2026 melabuhkan tirainya menerusi Majlis Penutupan yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam, Tuan Ali Sadikin bin Sadin di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar, pagi tadi.
Program yang membawa tema "Transformasi Hijau Pendidikan Bersama Komuniti" ini merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam (PDTSB) bersama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di daerah Sabak Bernam bagi memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar, memperkasa pendidikan hijau serta membudayakan amalan lestari dalam kalangan masyarakat.
Sepanjang penganjurannya, Program Komuniti Hijau Sabak Bernam 2026 telah menghimpunkan pelbagai pengisian berteraskan pendidikan, kelestarian alam sekitar dan penglibatan komuniti. Antara program yang dilaksanakan ialah Kempen Earth Hour, Kempen Alam Sekitar dan Baja Kompos, Pertandingan Awareness Video, Bengkel 3R Kraftangan Kitar Semula, Bengkel Upcycle Textile, Seminar Penjimatan Tenaga oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pertandingan Pengumpulan E-Waste dan Minyak Masak Terpakai.
Pertandingan Pengumpulan E-Waste dan Minyak Masak Terpakai mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan 127 peserta mewakili lima mukim, melibatkan 37 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta dua agensi. Inisiatif tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 3,634 kilogram bahan kitar semula bernilai RM5,701.95, sekali gus membuktikan komitmen tinggi masyarakat terhadap pemeliharaan alam sekitar dan amalan ekonomi kitaran.
Terdahulu pada sebelah pagi, Fun Run Komuniti Hijau 2026 berjaya menghimpunkan seramai 350 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, sekali gus menyemarakkan budaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.
Selain itu, orang ramai turut memeriahkan majlis penutupan melalui pelbagai aktiviti yang disediakan antaranya pameran daripada agensi-agensi kerajaan, Pertandingan Mewarna serta Jualan Rahmah, yang bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan malah berjaya mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Majlis turut diserikan dengan Peluncuran Bulan Kebangsaan 2026 sebagai simbolik menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan masyarakat, sekali gus menjadi pembuka tirai sambutan Bulan Kebangsaan di daerah Sabak Bernam.
Penganjuran Program Komuniti Hijau Sabak Bernam 2026 membuktikan komitmen berterusan Politeknik Sultan Idris Shah, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam serta rakan-rakan strategik dalam memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti ke arah merealisasikan agenda pembangunan mampan.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Puan Hilmun binti Mohamed yang mewakili Ketua Pengarah JPPKK, Pengarah PSIS, Puan Haslinda Abd Hamid, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Mohammad Faizal bin Narudin, Azhar bin Achil, Penyelaras Parlimen Sungai Besar, barisan Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ketua-ketua jabatan serta wakil pelbagai agensi kerajaan.

