PSIS DAN KOLEJ KOMUNITI SABAK BERNAM SEMARAKKAN PROGRAM KOMUNITI HIJAU SABAK BERNAM 2026 MELALUI GREEN EXPLORACE: JOM MASUK KAMPUNG
- Details
- Hits: 26

𝐏𝐒𝐈𝐒 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐋𝐄𝐉 𝐊𝐎𝐌𝐔𝐍𝐈𝐓𝐈 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐊 𝐁𝐄𝐑𝐍𝐀𝐌 𝐒𝐄𝐌𝐀𝐑𝐀𝐊𝐊𝐀𝐍 𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐊𝐎𝐌𝐔𝐍𝐈𝐓𝐈 𝐇𝐈𝐉𝐀𝐔 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐊 𝐁𝐄𝐑𝐍𝐀𝐌 𝟐𝟎𝟐𝟔 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐋𝐔𝐈 𝐆𝐑𝐄𝐄𝐍 𝐄𝐗𝐏𝐋𝐎𝐑𝐀𝐂𝐄: 𝐉𝐎𝐌 𝐌𝐀𝐒𝐔𝐊 𝐊𝐀𝐌𝐏𝐔𝐍𝐆
SABAK BERNAM, 15 Julai 2026 – Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dengan kerjasama Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) telah berjaya menganjurkan Green Explorace: Jom Masuk Kampung bersempena Program Komuniti Hijau Sabak Bernam 2026, sebagai salah satu inisiatif memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agensi kerajaan serta komuniti setempat dalam membudayakan amalan kelestarian alam sekitar dan gaya hidup hijau.
Program ini telah disempurnakan pelepasannya oleh Pengarah Politeknik Sultan Idris Shah, Puan Haslinda binti Abdul Hamid, bersama Pengarah Kolej Komuniti Sabak Bernam, Encik Ahmad Arman bin Nor Anuar. Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Pengarah Akademik PSIS, Encik Mohamad Shabudin bin Mohamad Nor, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSIS, Encik Mohamad Azrin bin Ramli, ketua-ketua jabatan, wakil-wakil agensi kerajaan, barisan kepimpinan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta komuniti setempat.
Program ini berjaya menghimpunkan 36 orang peserta yang terdiri daripada 12 kumpulan, melibatkan penyertaan warga Politeknik Sultan Idris Shah, Kolej Komuniti Sabak Bernam, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Institut Perakaunan Negara (IPN), ahli-ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta beberapa jabatan dan agensi lain di sekitar Sabak Bernam. Penglibatan pelbagai pihak ini mencerminkan semangat kolaborasi strategik dalam merealisasikan agenda pembangunan komuniti yang mampan dan lestari.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta di Dewan Seri Lang, PSIS, diikuti taklimat keselamatan, sesi regangan (warming-up) serta pelepasan peserta sebelum mereka memulakan misi explorace mengikut laluan yang telah ditetapkan.
Sepanjang explorace berlangsung, setiap kumpulan perlu melengkapkan cabaran di empat checkpoint yang dikendalikan oleh komuniti setempat. Di KRT Desa Hormat, peserta diuji melalui aktiviti Boling Kelapa, Sepak Bola Masuk Gol dan Memasukkan Bola ke Dalam Gol Menggunakan Kayu Hoki yang menguji koordinasi, ketepatan, ketangkasan dan semangat kerja berpasukan.
Di KRT Parit Baru, peserta menyertai cabaran Gel Blaster Tembak Tin, Carom Mengikut Masa dan Mini Golf yang menguji fokus, strategi serta kemahiran motor halus dalam suasana santai tetapi kompetitif.
Checkpoint KRT Sungai Tengar Utara pula mengetengahkan elemen warisan dan budaya masyarakat melalui aktiviti Anyaman Ketupat, Kupas Tebu Muda dan Pancing Botol Plastik. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta mengenali kemahiran tradisional masyarakat kampung di samping mengasah kreativiti, kesabaran dan semangat bekerjasama.
Sementara itu, di KRT Sungai Tengar Selatan, peserta dicabar melalui aktiviti Baling Tin Susu Menggunakan Selipar Jepun, Musang Berjanggut serta Mengisi Air ke Dalam Botol Menggunakan Straw yang menekankan komunikasi berkesan, kreativiti, koordinasi dan penyelesaian masalah secara berkumpulan.
Kemuncak program berlangsung di Dewan Seri Lang, PSIS menerusi pertandingan Pembinaan Bot daripada Bahan Terpakai. Setiap kumpulan diberikan bahan-bahan kitar semula yang sama untuk menghasilkan sebuah bot yang kreatif, kukuh dan berfungsi. Bot yang dihasilkan kemudiannya diuji berdasarkan daya apungan, keupayaan menampung beban maksimum serta ketahanan terapung selama dua minit. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kreativiti dan inovasi peserta, malah meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penggunaan semula bahan buangan melalui amalan 3R (Reduce, Reuse and Recycle).
Selaras dengan tema Green Explorace: Jom Masuk Kampung, program ini berjaya menggabungkan elemen pendidikan, kesihatan, rekreasi, inovasi dan kelestarian dalam satu platform yang memberi impak positif kepada semua peserta. Pendekatan pembelajaran secara pengalaman (experiential learning) yang diterapkan sepanjang program berjaya memupuk nilai kepimpinan, komunikasi, semangat kesukanan, daya saing yang sihat, pemikiran kreatif dan kerja berpasukan.
Program ini turut menyokong aspirasi Program Komuniti Hijau Sabak Bernam 2026 serta Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDGs), khususnya SDG 3: Good Health and Well-being, SDG 4: Quality Education, SDG 11: Sustainable Cities and Communities, SDG 12: Responsible Consumption and Production dan SDG 17: Partnerships for the Goals, melalui penglibatan aktif institusi TVET, agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam menjayakan aktiviti berteraskan kelestarian.
Penganjuran Green Explorace: Jom Masuk Kampung membuktikan komitmen berterusan Politeknik Sultan Idris Shah dan Kolej Komuniti Sabak Bernam dalam memperkukuhkan hubungan strategik bersama komuniti melalui pelaksanaan program berimpak tinggi yang menggabungkan elemen pendidikan, inovasi, kesihatan, kesukarelawanan dan kelestarian alam sekitar. Diharapkan inisiatif seumpama ini akan terus menjadi platform yang memperkukuh semangat kebersamaan, memperluaskan jaringan kerjasama rentas agensi serta menyokong aspirasi Malaysia MADANI ke arah pembentukan komuniti yang lebih mampan, inklusif dan sejahtera.
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | YouTube | TikTok: Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis

