PSIS PERKASA LITERASI TENAGA MENERUSI PELAKSANAAN MELP 2026 BERSAMA TNB
- Details
- Hits: 25

𝐏𝐒𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀 𝐋𝐈𝐓𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝐓𝐄𝐍𝐀𝐆𝐀 𝐌𝐄𝐍𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐊𝐒𝐀𝐍𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐋𝐏 𝟐𝟎𝟐𝟔 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐓𝐍𝐁
SABAK BERNAM, 2026 – Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) terus memperkukuh peranan sebagai institusi TVET yang komited dalam pembangunan komuniti dan kelestarian apabila menganjurkan Program Malaysia Energy Literacy Programme (MELP): Kuasa di Tangan Anda, Seminar ESG dan Pemerkasaan Diri 2026 dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Program yang berlangsung di PSIS ini telah disempurnakan oleh Lead (Stakeholder Engagement - Selangor), Retail Division TNB,Puan Siti Rohayah binti Tahir, dan merupakan antara pengisian di bawah Program Komuniti Hijau Daerah Sabak Bernam 2026, sebuah inisiatif dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam yang menghimpunkan institusi pendidikan, komuniti, industri dan agensi kerajaan dalam satu platform ke arah masa depan yang lebih lestari.
Penganjuran MELP 2026 mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasa pembangunan modal insan negara melalui pembudayaan kesedaran tenaga, kelestarian alam sekitar dan pendidikan berteraskan komuniti.
Tema “Kuasa di Tangan Anda” amat bertepatan dengan situasi semasa yang menuntut masyarakat bukan sahaja memahami kepentingan tenaga elektrik dalam kehidupan seharian, malah memiliki kuasa ilmu, kuasa membuat keputusan yang tepat, kuasa menggunakan teknologi secara beretika serta kuasa memelihara alam sekitar demi generasi akan datang.
Program ini turut mengetengahkan konsep Environmental, Social and Governance (ESG) yang kini menjadi agenda penting dalam pembangunan organisasi di seluruh dunia. Sebagai institusi TVET, PSIS sentiasa menyokong aspirasi negara dalam membudayakan amalan lestari melalui pendidikan, penyelidikan, inovasi dan penglibatan komuniti.
MELP 2026 turut menampilkan pelbagai sesi perkongsian ilmu oleh pakar industri melibatkan topik-topik semasa dan relevan seperti kecekapan penggunaan tenaga, kefahaman mengenai tarif elektrik, Time of Use (TOU) dan Automatic Fuel Adjustment (AFA), teknologi Smart Meter, ancaman penipuan digital serta penyalahgunaan mata wang kripto, keselamatan elektrik termasuk langkah keselamatan ketika bencana banjir, serta peluang pendidikan dan pembangunan kerjaya di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Selain seminar, para peserta turut berpeluang mengunjungi ruang pameran yang melibatkan penyertaan daripada TNB Retail Selangor, Smart Meter, HSE Distribution Network, UNITEN, Politeknik Merlimau serta pameran Kenderaan Elektrik (EV). Pameran ini memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar berkaitan teknologi terkini, inovasi industri dan peluang kerjaya dalam sektor tenaga.
Penganjuran program seumpama ini diyakini mampu meningkatkan minat pelajar terhadap bidang pengajian masing-masing, di samping memperkukuh kebolehpasaran graduan melalui pendedahan terus kepada keperluan industri dan perkembangan teknologi semasa.
PSIS berharap kerjasama strategik bersama TNB ini akan terus diperkasa pada masa hadapan melalui pelbagai bentuk kolaborasi seperti latihan industri, penyelidikan, inovasi, pemindahan teknologi dan pembangunan kompetensi warga akademik serta pelajar, sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja masa hadapan yang berdaya saing dan memenuhi keperluan negara.
Hadir sama, Tuan Ali Sadikin bin Sadin, Pegawai Daerah Sabak Bernam, Puan Haslinda Abd Hamid Pengarah PSIS, Encik Mohamad Shabudin bin Mohamad Nor, Timbalan Pengarah Akademik serta Encik Mohamad Azrin bin Ramli, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik serta barisan Jawatankuasa Pembanguna dan Keselamatan Kampung (JPKK).
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | Youtube| Tiktok : Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis

