𝐏𝐒𝐈𝐒 𝐒𝐀𝐌𝐁𝐔𝐓 𝟑𝟔𝟎 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐉𝐀𝐑 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐑𝐔 𝐒𝐄𝐒𝐈 𝐈𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟓/𝟐𝟎𝟐𝟔
SABAK, 05 Januari 2026 – Seramai 360 orang pelajar baharu Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) telah berjaya melengkapkan proses pendaftaran bagi kemasukan Sesi II 2025/2026, hari ini. Kehadiran para pelajar bersama ibu bapa dan penjaga mewujudkan suasana yang ceria, teratur dan penuh semangat, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam perjalanan akademik mereka di PSIS.
Pengarah Politeknik Sultan Idris Shah, Puan Haslinda Abd Hamid, bersama Timbalan Pengarah Akademik, Haji Zainuddin Kasmuri dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Encik Mohammad Azrin Ramli turut hadir meninjau perjalanan proses pendaftaran yang berlangsung dengan lancar dan tersusun seperti yang dirancang.
Pada hari yang sama, taklimat bersama ibu bapa dan penjaga turut diadakan bagi memberi penerangan menyeluruh berkaitan sistem pembelajaran, kemudahan kampus, kebajikan pelajar serta peraturan yang ditetapkan oleh politeknik. Taklimat ini diakhiri dengan sesi soal jawab, sekali gus memberi ruang kepada ibu bapa dan penjaga mendapatkan penjelasan secara langsung daripada pihak pengurusan PSIS.
Minggu Transformasi Siswa (MTS) yang bakal dilalui oleh para pelajar baharu selama seminggu akan menjadi platform penting dalam memperkenalkan mereka kepada suasana kampus, budaya pembelajaran politeknik, di samping membentuk sahsiah serta kemahiran insaniah yang seimbang.
Pihak Pengurusan PSIS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pasukan kerja PSIS dan barisan fasilitator atas komitmen dan kerjasama yang padu dalam memastikan kelancaran proses pendaftaran pelajar baharu.
Tahniah dan selamat datang diucapkan kepada semua pelajar baharu yang telah melangkah masuk ke Politeknik Sultan Idris Shah. Semoga terus bersemangat dalam menimba ilmu dan mencapai kejayaan pada masa hadapan. Selamat maju jaya!
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | Youtube| Tiktok : Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis