MAJLIS PENTAULIAHAN DAN WATIKAH PISPA DI POLYCC MALCIDAC 2025
- Details
- Hits: 191

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐍𝐓𝐀𝐔𝐋𝐈𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐈𝐊𝐀𝐇 𝐏𝐈𝐒𝐏𝐀 𝐃𝐈 𝐏𝐎𝐋𝐘𝐂𝐂 𝐌𝐀𝐋𝐂𝐈𝐃𝐀𝐂 𝟐𝟎𝟐𝟓
Behrang, 18 Jun 2025 – Seramai 15 orang pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) telah menerima pentauliahan sebagai Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) dalam satu majlis yang penuh bermakna bersempena dengan penganjuran 1st POLYCC MALCIDAC 2025 di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) pada hari ini.
Majlis pentauliahan ini bukan sekadar pengiktirafan kepada komitmen dan latihan intensif yang telah dijalani oleh para pelajar dalam bidang pertahanan awam, tetapi juga merupakan impak keberhasilan signifikan daripada elemen kokurikulum berkredit Jabatan Sukan, Kebudayaan & Kokurikulum. Melalui program PISPA yang diiktiraf sebagai kokurikulum berkredit, pelajar-pelajar ini telah membangunkan kemahiran insaniah yang penting seperti kepimpinan, kerja berpasukan, disiplin, dan ketahanan diri.
Kejayaan mereka dalam pentauliahan ini membuktikan bahawa penglibatan aktif dalam kokurikulum berkredit dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan holistik pelajar, melengkapkan mereka dengan kemahiran praktikal dan nilai-nilai murni yang akan menjadi aset berharga dalam kehidupan dan kerjaya mereka. Ia juga menandakan kesediaan mereka untuk menyumbang kepada komuniti melalui kemahiran dan ilmu yang diperoleh.
Dalam majlis yang sama, tiga orang Pegawai Bersekutu PISPA dari PSIS turut menerima penyelarasan kenaikan pangkat seperti berikut:
Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Haslinda Abd Hamid
Mejar Bersekutu (PA) Mohammed Illias Harun Habib Patel
Mejar Bersekutu (PA) Mohd Azmi Mh Busra
Pengiktirafan ini diberikan atas dedikasi dan sumbangan berterusan mereka dalam membimbing serta melatih ahli-ahli PISPA, memastikan program ini berjalan lancar dan mencapai objektifnya. Kenaikan pangkat ini juga mencerminkan komitmen PSIS dalam menghargai usaha para pegawai yang memainkan peranan penting dalam membentuk generasi pelajar yang berdaya saing dan bertanggungjawab. Turut hadir bersama meraikan ialah Kapten Bersekutu (PA) Mohd Zaini Zainudin, Kapten Bersekutu (PA) Chia Soi Lee, dan Kapten Bersekutu (PA) Dr. Muhammad Daniel Derome.
Pihak PSIS mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang telah ditauliahkan dan juga kepada Pegawai Bersekutu yang menerima penyelarasan pangkat. Semoga dengan pengiktirafan ini, mereka akan terus berkhidmat, menjadi contoh teladan kepada rakan-rakan pelajar yang lain, sekaligus mengangkat martabat program kokurikulum berkredit dan PISPA di PSIS.
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | Youtube| Tiktok : Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis

