
BIM CHALLENGE 2025
Pertandingan BIM Challenge 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 4 hingga 6 Ogos 2025 bertempat di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak. Program berimpak tinggi ini bertujuan memperkasakan generasi muda dalam sektor pembinaan pintar melalui penerapan teknologi Building Information Modeling (BIM). Pertandingan ini menjadi medan kepada pelajar untuk mengetengahkan kreativiti dan inovasi dalam menghasilkan penyelesaian pembinaan moden yang mampan dan cekap.
Mewakili Jabatan Kejuruteraan Awam, En. Suhaimi bin Madhir selaku pensyarah pengiring bersama dua orang pelajar, Tengku Xyrix bin Tengku Jasshwa dan Muhammad Haziq bin Abdullah, telah menunjukkan komitmen tinggi dan semangat juang yang membanggakan. Pasukan ini berjaya meraih saguhati tempat ke-4 dan ke-6, satu pencapaian yang amat membanggakan dalam pertandingan yang disertai oleh pelbagai institusi pendidikan dari seluruh negara.
Penyertaan ini bukan sahaja membuka peluang pembelajaran secara langsung dengan pakar industri, malah mengukuhkan lagi jaringan kerjasama strategik antara pelajar dan pihak berkepentingan industri pembinaan digital negara.
Syabas dan tahniah diucapkan!