SABAK BERNAM, 10 – 24 Julai 2025 – Platun Askar Wataniah Politeknik Sultan Idris Shah (AW-PSIS) membuktikan keunggulan mereka dalam Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 16/2025 apabila berjaya meraih tempat Kedua keseluruhan daripada 17 buah politeknik yang bertanding dari seluruh pelusuk negara.

Acara Ujian Jalan Laju menjadi medan pertama menguji kekuatan fizikal dan ketahanan mental para peserta apabila perlu berlari sejauh 5 KM dan menggalas beban di dalam pek eberat 6KG. Platun AW-PSIS berjaya mengekalkan momentum dan rentak larian sepanjang laluan mencabar tersebut, sekaligus meraih tempat Ketiga dalam ujian ini.

Bagi acara Multi Relay pula, AW-PSIS bermula gagah dengan larian 1.6 KM tetapi diduga dengan kecederaan anggota di checkpoint kedua. Sungguhpun demikian, para peserta tetap meneruskan cabaran dan menamatkan acara serta berpuas hati di tempat Ke-7.

Untuk acara Pandu Arah, para peserta diuji dengan cabaran navigasi menggunakan peta dan kompas merentasi laluan semak samun, belukar dan berparit. Ketepatan bacaan bearing, susunan strategi dan kekuatan fizikal membolehkan pasukan AW-PSIS membuat kejutan apabila berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan mengatasi majoriti pasukan lain.

Acara Menembak Raifal M16 Empat Kedudukan (100 meter) menyaksikan AW-PSIS mencatatkan markah tertinggi secara kumulatif oleh 30 orang penembak (20 lelaki, 10 wanita), menjadikan mereka Johan bagi acara kegemaran ini. Ketepatan bidikan dan tembakan membuktikan keberkesanan latihan serta kematangan pasukan dalam aspek kemahiran tempur. Lebih manis lagi apabila 6301597 Prebet Arief Imran Bin Mohd Izuddin (17DTK23F1008) dan 6305134 Prebet Nur An Nisa Binti Abas (17DIT24F1018) masing-masing dinobatkan Penembak Terbaik (Individu - Lelaki) dan Penembak Terbaik (Individu - Perempuan). Untuk rekod lima penembak terbaik perempuan terdiri daripada para serikandi AW-PSIS.

Aksi cemerlang AW-PSIS diteruskan dalam acara Menembak Jatuh Piring (100 meter) yang menggunakan format kalah mati. Pasukan AW-PSIS berjaya mara ke peringkat akhir dan memberikan saingan sengit sebelum meraih gelaran Naib Johan.

Kejayaan bermakna ini adalah hasil komitmen, disiplin tinggi dan usaha yang tidak mengenal lelah para anggota serta berkat doa semua pihak sama ada secara langsung ataupun tidak. Pasukan AW-PSIS telah diselaraskan oleh En Mohd Zeid Bin Abu Bakar, Mejar Iskandar Faidzal bin Othman, Mejar Dr Fazlinah Binti Mohd serta dua jurulatih utama yang sangat berjasa, Sarjan Shahrul Azren Bin Muslim dan Koperal Muhammad Zarif Bin Mohd Fuaad.

Pengarah dan seluruh warga PSIS merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan AW-PSIS atas pencapaian cemerlang ini. Semoga kejayaan ini terus menyemarakkan semangat juang dan kecemerlangan di kalangan generasi pelapis Askar Wataniah PSIS.