
𝐏𝐑𝐎𝐅𝐄𝐒𝐈𝐎𝐍𝐀𝐋𝐈𝐒𝐌𝐄 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐊𝐈𝐑𝐀𝐍 𝐒𝐓𝐑𝐀𝐓𝐄𝐆𝐈𝐊 𝐓𝐄𝐑𝐀𝐒 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐎𝐑𝐆𝐀𝐍𝐈𝐒𝐀𝐒𝐈 𝐂𝐄𝐌𝐄𝐑𝐋𝐀𝐍𝐆- 𝐊𝐏𝐏𝐊
SABAK, 12 NOVEMBER 2026 – Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) hari ini berbesar hati menerima kunjungan kerja YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK), bersempena Program Bersama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK) bersama Warga PSIS.
Kunjungan tersebut dimulakan dengan sesi bersama Ahli Mesyuarat Pengurusan PSIS menerusi pembentangan oleh Pengarah PSIS, Encik Mohd Asyraf bin Md Sum, berkaitan memantapkan lagi THE GREAT PSIS yang berteraskan 13 Iltizam KPPK. Kerangka ini mencerminkan komitmen PSIS untuk menterjemahkan institusi kepada tindakan strategik yang berpaksikan tadbir urus baik , tanggungjawab, empati, ketangkasan dan kepercayaan.
Seterusnya, delegasi dibawa meninjau beberapa lokasi sekitar kampus termasuk bangunan akademik, makmal, panggung syarahan, bengkel dan TNB Power Main Intake serta inisiatif Foodbank@PSIS. Lawatan ini turut memberi ruang untuk melihat sendiri kemudahan dan infrastruktur sedia ada, di samping memahami keperluan pembangunan serta penambahbaikan fasiliti bagi menyokong persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Antara pengisian istimewa ialah penyempurnaan perasmian Makmal Fizik untuk kegunaan pelajar program Asasi Teknologi Kejuruteraan serta perasmian Inkubator NOX sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemudahan dan ekosistem pembelajaran serta inovasi di PSIS.
Program diteruskan dengan sesi perjumpaan dan penyampaian amanat bersama warga PSIS dan Kolej Komuniti Sabak Bernam di Dewan Utama. Dalam amanatnya, YBrs. Dr. Shamsuri menekankan kepentingan profesionalisme, pemikiran strategik, budaya saling menghargai serta komitmen berterusan dalam memberikan nilai dan impak terbaik kepada pelajar serta organisasi.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan institusi bukan hanya bergantung kepada kemudahan fizikal, malah memerlukan warga kerja yang berintegriti, berfikiran terbuka, saling menyokong dan sentiasa bersedia menghadapi perubahan. Budaya kerja yang positif serta kesepaduan seluruh warga merupakan antara asas penting dalam membangunkan organisasi yang berkualiti dan berdaya saing.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyempurnakan pelancaran SISWAHub, sebuah platform digital inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) PSIS yang menghimpunkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan pelajar dalam satu sistem bersepadu. Melalui platform ini, pelajar boleh mengakses maklumat dan perkhidmatan seperti semakan keputusan penempatan asrama, urusan janji temu bersama pegawai psikologi, perkhidmatan rawatan oleh Pembantu Perubatan (MA), maklumat kediaman serta permohonan surat dan pelbagai urusan berkaitan kebajikan pelajar.
Secara keseluruhannya, kunjungan ini menjadi ruang perkongsian aspirasi, pengukuhan hubungan strategik serta suntikan motivasi kepada seluruh warga Politeknik dan Kolej Komuniti untuk terus mempertingkatkan kualiti kerja dan perkhidmatan.
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | Youtube| Tiktok : Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis