
Sabak Bernan, 28 Oktober 2026 – Program Dapur Siswa Madani @ Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan Foodbank PSIS diteruskan dengan pelaksanaan fasa kedua yang berlangsung pada hari ini di Perkarangan Bilik Kuliah PSIS melalui penyerahan sumbangan berupa makanan kering dan bahan asas kepada 400 orang pelajar daripada golongan B40.
Inisiatif ini merupakan manifestasi keprihatinan PSIS terhadap kebajikan dan kesejahteraan pelajar, khususnya dalam membantu meringankan beban kos sara hidup serta memastikan keperluan asas makanan pelajar sentiasa diberi perhatian.
Terdahulu, fasa pertama program ini pada 18 September 2026 telah menyaksikan penyerahan sumbangan bahan asas makanan kepada 100 buah rumah sewa di kediaman luar kampus, yang melibatkan lebih 800 orang pelajar. Pelaksanaan kedua-dua fasa ini membuktikan komitmen berterusan PSIS dalam memperkukuh agenda kebajikan pelajar melalui pendekatan yang inklusif, prihatin dan berimpak.
Penyampaian telah disempurnakan oleh Pengarah PSIS, Encik Mohd Asyraf Md Sum, turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Akademik dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik. Semoga sumbangan yang disalurkan ini dapat memberikan manfaat kepada para pelajar, menyuntik semangat untuk terus menuntut ilmu serta membantu mereka menjalani kehidupan sebagai mahasiswa dengan lebih sejahtera.
Kerana di PSIS, kebajikan pelajar bukan sekadar tanggungjawab, tetapi amanah yang digalas bersama. 
Dapur Siswa Madanu @ PSIS — Dari Madani kepada Mahasiswa - Kongsi Rezeki, Saling Menyantuni.
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | Youtube| Tiktok : Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis