
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐍𝐔𝐓𝐔𝐏𝐀𝐍 𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐑𝐈𝐕𝐄𝐑𝐈𝐍𝐄𝐗 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐋𝐀𝐉𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐋𝐀𝐏𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐉𝐀𝐑 𝐊𝐄𝐉𝐔𝐑𝐔𝐓𝐄𝐑𝐀𝐀𝐍 𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐒𝐄𝐊𝐈𝐓𝐀𝐑
PERLIS, 31 Julai 2026 – Program RIVERINEX anjuran Bahagian Kurikulum dengan kerjasama Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan SWCorp telah melabuhkan tirainya menerusi Majlis Penutupan yang disempurnakan oleh Dr. Haji Mohd Daud bin Isa, Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Julai 2026 ini melibatkan pelajar Semester 5 Diploma Kejuruteraan Alam Sekitar PSIS dan bertujuan memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman melalui aktiviti lapangan yang mengintegrasikan aspek pemuliharaan alam sekitar, penyelidikan serta pembangunan kemahiran insaniah.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah menyertai pelbagai aktiviti antaranya Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembersihan Pantai Pulai Ketam, aktiviti pendakian ke Gua Kelam 2 bagi menjalankan pensampelan air (water sampling), serta latihan berkumpulan yang dikendalikan oleh fasilitator daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang juga merupakan alumni Politeknik Sultan Idris Shah.
Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar terhadap aplikasi ilmu dalam situasi sebenar, malah turut memupuk semangat kerjasama, kepimpinan, komunikasi serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar.
Turut hadir ke Majlis Penutupan ialah Prof. Ir. Dr. Mohd Shukry bin Abdul Majid, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Malaysia Perlis, Puan Haslinda Abd Hamid, Pengarah Politeknik Sultan Idris Shah, Prof. Madya Ts. Dr. Che Zulzikrami Azner bin Abidin, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Universiti Malaysia Perlis serta Puan Marzita binti Muhamad Tazi, Ketua Seksyen, Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK)
Majlis diakhiri dengan sesi fotografi sebagai simbolik penutup Program RIVERINEX 2026 yang berjaya menghimpunkan kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi dan agensi strategik dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing serta prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | Youtube| Tiktok : Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis