
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐋𝐔𝐍𝐂𝐔𝐑𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐌𝐔𝐍𝐈𝐓𝐈 𝐇𝐈𝐉𝐀𝐔 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐊 𝐁𝐄𝐑𝐍𝐀𝐌 𝟐𝟎𝟐𝟔 𝐌𝐄𝐌𝐀𝐂𝐔 𝐀𝐆𝐄𝐍𝐃𝐀 𝐒𝐃𝐆 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐋𝐔𝐈 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐒𝐓𝐑𝐀𝐓𝐄𝐆𝐈𝐊
SABAK BERNAM, 22 Mei – Agenda kelestarian alam sekitar dan pemerkasaan komuniti di daerah Sabak Bernam mencapai satu lagi mercu tanda penting menerusi penganjuran Majlis Peluncuran Komuniti Hijau Sabak Bernam 2026 yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Banquet, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) pagi tadi.
Majlis telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam, Tuan Ali Sadikin bin Sadin. Hadir sama, Pengarah PSIS, Puan Haslinda Abd Hamid serta ketua-ketua jabatan dan agensi Daerah Sabak Bernam.
Penganjuran berskala besar ini merupakan kolaborasi erat antara PSIS, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam (PDTSB), serta rakan-rakan kerjasama strategik.
Bagi menghargai komitmen dan sokongan pelbagai pihak, majlis pagi tadi turut menyaksikan penyampaian sijil strategik kepada 20 agensi dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat secara langsung dalam menjayakan agenda ini. Pengiktirafan ini mencerminkan semangat kerja berpasukan yang kukuh antara sektor awam, institusi pendidikan, dan kepimpinan akar umbi.
Inisiatif komprehensif ini secara langsung menterjemahkan sokongan padu terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya:
SDG 7 (Tenaga Bersih dan Berpatutan): Memastikan akses kepada tenaga yang berpatutan, dipercayai, mampan, dan moden.
SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan): Melalui usaha bersama membina ekosistem daerah yang lebih hijau, bersih, dan berdaya huni.
SDG 13 (Tindakan Terhadap Iklim): Menerusi langkah proaktif memupuk kesedaran alam sekitar.
Sepanjang tempoh Mei hingga Julai 2026, pelbagai pengisian telah dirangka untuk masyarakat setempat. Antara aktiviti utama yang bakal dilaksanakan termasuklah Green Healthy Fun Run, Pertandingan Green Explorace, Waste Collection, Kursus Penghasilan Sabun Komuniti, Saringan Kesihatan, Jualan Rahmah, Pertandingan Video Kesedaran Alam Sekitar, dan Kuiz Online serta Majlis Penutup pada 25 Julai 2026.
Kerjasama antara PSIS, PDTSB, agensi kerajaan, dan barisan MPKK ini diharap dapat memacu transformasi masyarakat ke arah gaya hidup yang lebih lestari, sekali gus memastikan impak pemeliharaan alam sekitar di Sabak Bernam kekal berterusan demi generasi masa hadapan.
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | Youtube| Tiktok : Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis