
𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐉𝐄𝐋𝐀𝐉𝐀𝐇 𝐔𝐓𝐄𝐌: 𝐃𝐀𝐑𝐈 𝐏𝐎𝐋𝐈𝐓𝐄𝐊𝐍𝐈𝐊 𝐊𝐄 𝐔𝐓𝐄𝐌 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀 𝐇𝐀𝐋𝐀 𝐓𝐔𝐉𝐔 𝐀𝐊𝐀𝐃𝐄𝐌𝐈𝐊 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐉𝐀𝐑
10 – 12 Februari 2026 – Program Jelajah UTeM: Dari Politeknik ke UTeM telah berlangsung dengan jayanya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), menghimpunkan seramai 280 pelajar Program Asasi Teknologi Kejuruteraan daripada tujuh Politeknik seluruh Malaysia. Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan institusi TVET dalam memperkukuh laluan pendidikan tinggi serta melahirkan graduan berdaya saing.
Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) turut menghantar 33 pelajar Program Asasi bagi menyertai program berimpak tinggi ini. Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada peluang melanjutkan pengajian, kemudahan fasiliti bertaraf universiti serta penerangan komprehensif mengenai laluan akademik yang tersedia di UTeM. Pendedahan ini diharap dapat membantu pelajar merancang masa depan pendidikan dengan lebih strategik dan bermaklumat.
Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Encik Zaidi bin Othman, Pengarah Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital (BIPD), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK). Turut bersama di majlis penutup ialah Profesor Datuk Ts. Dr. Massila binti Kamalrudin, Naib Canselor UTeM, Profesor Dr. Mohd Rizal bin Salleh, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) serta Ir. Ts. Dr. Siti Aisyah binti Anas, Timbalan Pengarah Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti (CISMo).
Penganjuran program ini mencerminkan jalinan kerjasama strategik antara politeknik dan universiti teknikal dalam memperkasa ekosistem pendidikan negara. Diharapkan inisiatif seumpama ini akan terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik serta membuka lebih banyak peluang kemajuan kepada pelajar TVET.
THE GREAT PSIS!!!
………………………………………………..
Facebook | Instagram | Youtube| Tiktok : Politeknik Sultan Idris Shah
X: @twtpsis